|
Assalamualaikum dan salam sejahtera, bagi pihak Lembaga Koperasi, saya dengan sukacitanya terlebih dahulu ingin merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Dato' Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi selaku Menteri Pertahanan merangkap Penaung Koperasi Tentera di atas sokongan beliau kepada Koperasi. Penghargaan yang sama saya panjangkan kepada Yang Dipertua dan Naib-Naib Yang Dipertua di atas dorongan dan sokongan mereka kepada Koperasi Tentera untuk bergerak maju sehingga ditahap sekarang.
Selamat Datang ke laman web Laman Web Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (KATMB). Saya berbesar hati kerana diberi kesempatan ini untuk memberi kata-kata aluan dan menyampaikan mesej di laman web KATMB ini. Tahniah diucapkan kepada pihak pengurusan atas segala usaha gigih yang konsisten untuk sentiasa memastikan segala kegiatan koperasi berjalan lancar. Dengan adanya ruangan cabang komunikasi seperti ini, sudah pasti Koperasi Tentera dapat berinteraksi dengan setiap lapisan masyarakat khasnya menyampaikan maklumat kepada ahli yang juga merupakan dana, sumber perniagaan dan kekuatan Koperasi.
Pada masa kini, Internet ataupun ICT amatlah penting bagi organisasi membangun seperti KATMB untuk berhubung dengan dunia luar. Kemudahan teknologi yang serba canggih dan sedia ada ini diharap dapat digunakan sebaik mungkin oleh ahli koperasi khasnya dalam mendapatkan sebarang maklumat produk, serta mengetahui perkembangan aktiviti atau kegiatan Koperasi dari semasa ke semasa. Justeru itu, besar harapan saya kepada semua ahli dan seluruh warga koperasi untuk terus-menerus menyokong padu pergerakan koperasi dan seterusnya menikmati hasil kejayaan yang dicapai bersama.
Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang sentiasa memberikan kerjasama, bimbingan dan sokongan kepada KT. Penghargaan juga kepada semua anggota, staf serta Pengurusan KT yang telah memberi kerjasama, sumbangan dan sokongan kepada kejayaan Koperasi Tentera pada hari ini. Akhir kata, terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu ke arah kejayaan Koperasi Tentera.
Sekian,
'SATU ANGKATAN, SATU KOPERASI'.
Pengerusi
Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (KATMB)
|