14hb Ogos 2007 - Satu majlis penyampaian cek bayaran pampasan Skim Insurans Berkelompok ATM bagi pegawai dan anggota yang terkorban akibat nahas pesawat Nuri pada 19 Julai 2007 yang lalu di Genting Sempah, Genting Highlands. Anggota yang terkorban adalah Kapt Norazlan bin Termuzi TUDM, Kapt Nur Intan Asykeen bt Mohd Arof TUDM, F/Sjn Mohamad Azmie bin Md Yassin, F/Sjn Khusnizaim bin Ariffin, Luk Muhammad Ridzuan bin Ahmad, Luk Saipulizam bin Alias.
Cek-cek bayaran pampasan ini telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Jeneral Tan Sri Dato' Sri Azizan Bin Ariffin TUDM, Panglima Tentera Udara bersama-sama Pengerusi Koperasi Tentera iaitu Brig. Jen (B) Dato' Saifuddin bin Hj. Abd Ghani di Mes Wira Angkasa, Sg. Besi. Cek bayaran pampasan ini telah diuruskan oleh Koperasi Tentera sebagai pengurus skim bersama-sama Takaful Malaysia sebagai syarikat penanggung.
Koperasi Tentera telah memperkenalkan Skim Insurans Berkumpul ini pada tahun 1987 dan ianya direka khas terutama untuk anggota-anggota tentera tetap dan sukarela samada yang sedang berkhidmat atau telah bersara. Skim ini telah dipanjangkan kepada pekerja-pekerja awam yang berkhidmat di bawah Kementerian Pertahanan dan isteri yang menganggotai skim ini.
Semenjak skim ini diperkenalkan, ianya telah banyak memberi manfaat kepada anggota. Sejak 5 tahun kebelakangan ini, dari tahun 2002 sehingga tahun 2007 jumlah bayaran pampasan yang telah dibayar oleh Koperasi Tentera adalah sebanyak RM57 juta. Peningkatan ini jelas menunjukkan keprihatinan Koperasi Tentera dalam menjaga kebajikan anggota-anggotanya.