01hb Sep 2006 - Sebagaimana setiap anggota Koperasi atau ahli-ahli skim Insurans Berkumpul Angkatan Tentera Malaysia sedia maklum, penanggung kepada skim ini sejak 18 tahun yang lalu adalah Syarikat AmAssurance Berhad. Bagaimanapun mulai 01 September 2006, penanggung bagi skim ini telah diambil alih oleh Syarikat Takaful Malaysia Berhad. Selaras dengan pengambilalihan oleh syarikat Takaful maka nama bagi skim ini telah ditukarkan kepada SKIM TAKAFUL BERKELOMPOK ANGKATAN TENTERA MALAYSIA atau nama ringkasnya adalah SKIM TAKAFUL BERKELOMPOK ATM.
Mulai 01 September 2006 juga semua urusan pentadbiran dan tuntutan berkaitan skim ini akan diuruskan melalui Syarikat Takaful Malaysia. Bagaimanapun semua tuntutan yang diterima sehingga 31 Ogos 2006 masih menjadi tanggungjawab dan diuruskan oleh Syarikat AmAssurance Bhd.
Hasil dari perbincangan diantara kedua-dua pihak, Syarikat Takaful Malaysia Berhad telah bersetuju untuk melakukan penambahbaikkan keatas skim ini dengan melakukan perubahan kepada kadar pampasan, bonus kemalangan, perbelanjaan pengkebumian serta lain-lain faedah. Maklumat terkini berkaitan pampasan serta faedah-faedah yang disediakan kepada ahli-ahli atau bakal-bakal ahli adalah seperti jadual yang disediakan disebelah. Adalah diharapkan semua anggota mengambil peluang ini untuk menambah atau meningkatkan jumlah pegangan unit kepada maksima. Ini adalah kerana skim yang dikendalikan oleh Koperasi Tentera pada ketika ini adalah yang termurah di pasaran dan mempunyai perlindungan yang terbaik. Kerjasama pihak atasan untuk menggalakkan anggota-anggota dibawah naungan masing-masing menyertai atau menambah pegangan unit ini amatlah diharapkan demi kebaikan dan kebajikan mereka. Tambahan lagi setakat ini Koperasi Tentera telah menunjukkan rekod yang baik dalam pengurusan dan pengendalian tuntutan skim ini.
Untuk maklumat semua, skim ini telah dicipta khas bagi memberi perlindungan kepada anggota-anggota tentera Malaysia yang mana mempunyai risiko yang paling tinggi dan boleh dikatakan semua syarikat Insurans yang ada di pasaran tidak melindungi semua pasukan berunifom, latihan dan operasi tentera, penglibatan dibawah PBB, aktiviti payung terjun, aktiviti menyelam, aktiviti sukan lasak atau bencana alam. Oleh itu semua anggota perlu berhati-hati jika ingin membeli insurans yang berada dipasaran.
Daripada rekod kami, didapati peserta dikalangan pekerja awam dan isteri atau pasangan tidak begitu menggalakkan. Ini berkemungkinan kurangnya pendedahan atau kefahaman tentang kepentingan insurans dikalangan mereka. Kami mengambil kesempatan ini untuk meminta setiap anggota mengambil perlindungan untuk pasangan masing-masing demi kebaikkan bersama. Isteri-isteri anggota yang juga merupakan ahli-ahli BAKAT sentiasa menjalani aktiviti sukan, lawatan, menembak dan bermacam-macam lagi. Semua aktiviti ini adalah mempunyai risiko sedangkan mereka tiada perlindungan. Adakah mereka tidak berhak untuk mendapat perlindungan yang sama?