Wakil Koperasi Tentera (KT) telah melawat keluarga Allahyarham Laksamana Tan Sri Ilyas bin Haji Din (Bersara) di kediaman keluarga beliau di Dato’ Keramat, Kuala Lumpur pada Khamis, 19 Julai 2018. Allahyarham telah menjadi anggota KT selama 40 tahun semenjak tahun 1978 sehingga meninggal dunia pada 6 Julai 2018 yang lalu akibat serangan jantung.
Lawatan tersebut bertujuan untuk menyampaikan ucapan takziah serta menyerahkan wang khairat, baki wang simpanan dan yuran Allahyarham di KT. Ucapan takziah dan penghargaan telah disampaikan oleh Anggota Lembaga Koperasi iaitu YBhg Laksamana Muda Dato’ Azhari bin Abdul Rashid serta isteri dan disaksikan oleh Pemangku Laksamana Pertama Dato’ Anuar Bin Mohamed dan isteri, Pengarah Kanan Bahagian Sumber Manusia, Markas Tentera Laut serta wakil pengurusan Koperasi Tentera.