Koperasi Tentera (KT) telah mengumumkan dividen 10% kepada 154,620 anggota melibatkan pembayaran berjumlah RM145 juta. Pengumuman itu dibuat oleh YB Tuan Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertahanan Malaysia bersempena Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Koperasi Tentera ke-54 di Dewan PERHEBAT Kem Sg Buloh, Selangor pada 30 Jun 2019.
Pembayaran ini dibuat berdasarkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM184.3 juta yang diperoleh hasil daripada pendapatan bersih operasi bagi tahun kewangan 2018 berjumlah RM313.5 juta. Manakala bagi simpanan anggota, jumlah keuntungan yang dibayar ke atas simpanan anggota dalam tahun 2018 adalah sebanyak RM13.6 juta.
Antara tetamu kehormat yang hadir pada majlis berkenaan ialah YBhg Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Bin Buang TUDM, Panglima Tentera Udara, mewakili Panglima Angkatan Tentera; YBhg Laksamana Madya Datuk Khairul Anuar bin Yahya, Timbalan Panglima Tentera Laut mewakili Panglima Tentera Laut; YBhg Mejar Jeneral Datuk Mohd Zakaria Bin Yadi, Ketua Staf Tentera Darat mewakili Panglima Tentera Darat dan YBhg Tuan Haji Abbas Bin Abu Bakar, Naib Pengerusi Eksekutif (Pengurusan) Suruhanjaya Koperasi Malaysia, mewakil Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
Turut hadir ialah YBhg Mejar Jeneral Dato’ Zulkiflee Bin Mazlan (Bersara), Pengerusi KT; YBhg Brigadier Jeneral Dato’ Ahmad Zahudi bin Haji Salleh (Bersara), Ketua Pegawai Eksekutif KT; tetamu-tetamu kehormat, rakan-rakan media, dan anggota KT.
Bersempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-54 ini juga, KT telah menyampaikan hadiah dan sijil penghargaan kepada Anggota Terlama, Anugerah Skim Insentif Kecemerlangan (SIK) kepada anak-anak anggota KT yang cemerlang dalam peperiksaan SPM dan PT3 serta Sumbangan Bakti Bantuan Perubatan berupa sebuah kerusi roda. KT turut menyampaikan zakat perniagaan berjumlah RM450,000.00 kepada Tabung Zakat Yayasan Veteran ATM.