Koperasi Tentera (KT), sekali lagi telah menganjurkan sesi pengenalan SME KT khusus buat usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Sesi pada kali ini telah melibatkan penyertaan seramai 54 orang usahawan PKS dan membuka peluang untuk berkongsi maklumat yang lebih terperinci mengenai produk SME serta kelebihanya kepada usahawan PKS yang hadir.
Menerusi temu bual bersama beberapa usahawan, antaranya Pn Nur Asilah Somadi dari Suhan Biotech Sdn Bhd, menyatakan bahawa sesi ini membuka peluang kepada syarikat beliau untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas bagi memohon pembiayaan berjangka-i daripada KT. Manakala, En Aidil Salihoudin dari Tams Idea (M) Sdn Bhd pula berkongsi tentang kelebihan produk SME KT yang dapat menyokong perancangan beliau dalam mengukuhkan lagi perniagaannya di masa hadapan.
Sesi pengenalan ini merupakan platform bagi KT untuk mengembangkan produk SME KT terutamanya kepada usahawan PKS sekaligus mengubah persepsi bahawa KT hanya terbuka untuk anggota tentera sahaja. Diharapakan program seperti ini dapat mengeratkan lagi hubungan perniagaan KT dan usahawan-usahawan PKS.
Turut hadir, YBhg Brig Jen Dato’ Ahmad Zahudi Haji Salleh (Bersara), Ketua Pegawai Eksekutif, En Mohd Ghazali Abbas, Pemangku Ketua Pegawai Operasi, En Mohamad Khairul Anuar Mohamed, Ketua Pengurusan Saluran, Perbankan Digital & Fintech dan En Eh Run Eh Noi, Ketua Perbankan Perniagaan.