Koperasi Tentera (KT) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah menganjurkan Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang telah melibatkan penyertaan seramai 80 orang pengurusan KT.
Majlis ini telah dimulakan dengan sesi taklimat integriti yang bertajuk “Rasuah: Keseronokan @ Kebinasaan” yang telah disampaikan oleh PKPs Tn Muhammad Sufian bin Shafie, Ketua Unit Pendidikan Masyarakat di Dewan Latihan, Wisma KT. Selepas sesi taklimat, Majlis Lafaz Ikrar dan Menandatangani Ikrar Bebas (IBR) diteruskan dengan sesi ucapan aluan daripada Ketua Pegawai Eksekutif KT, YBhg Brig Jen Dato’ Ahmad Zahudi bin Hj Salleh (Bersara), ucapan daripada Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, TPj Pn Razaliah binti Ab Rahman, sesi tayangan montaj Ikrar Bebas Rasuah dan lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR).
Majlis kemudiannya telah diteruskan lagi dengan lafaz Ikrar Bebas Rasuah yang telah dipimpin oleh YBhg Dato’ KPE bersama 80 orang pengurusan KT sebagai tanda ikrar KT untuk bebas daripada kegiatan rasuah dan menandatangani ikrar tersebut sambil disaksikan oleh Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan. Sebagai simbolik, YBhg Dato’ KPE telah menyerahkan sijil IBR tersebut kepada TPj Pn Razaliah binti Ab Rahman.
Majlis ini merupakan salah satu inisiatif KT dalam mengekalkan nilai integriti dan memupuk amalan anti rasuah dalam kalangan pengurusan dan staf KT agar tidak terlibat dalam gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.