Koperasi Tentera telah menerima Anugerah Khas Koperasi Wilayah Persekutuan sempena Sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) Peringkat Wilayah Persekutuan 2022 di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur.
YB Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim, Menteri Wilayah Persekutuan telah menyampaikan Anugerah Khas Koperasi Wilayah Persekutuan 2022 kepada YBhg Mej Jen Dato’ Zulkiflee Mazlan (Bersara), Pengerusi KT dan YBrs En Mohd Ghazali Abbas, Ketua Pegawai Eksekutif KT.
Bersempena dengan HKN ini juga, turut berlangsungnya Seminar Integriti Korporat Gerakan Koperasi Wilayah Persekutuan yang bertujuan untuk memberi kesedaran kepada anggota lembaga dan pengurusan koperasi dalam memahami dan menerapkan nilai-nilai pengurusan risiko dan integriti dalam tadbir urus koperasi dan pendedahan kepada liabiliti korporat. Kol Ts. Hamidi Achin, Anggota Lembaga KT telah mengetuai sesi bacaan ikrar yang telah disertai oleh 250 orang peserta.
Majlis ini merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan kerjasama pihak Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dalam usaha untuk mengiktiraf dan memberikan penghargaan kepada koperasi-koperasi yang telah memberikan sumbangan dalam gerakan koperasi. Turut memenangi anugerah pada majlis tersebut adalah YBhg Brig Jen Dato’ Ahmad Zahudi Salleh (Bersara), Mantan Ketua Pegawai Eksekutif KT yang telah dinobatkan sebagai Anugerah Tokoh Koperasi.