Koperasi Tentera (KT) telah turut serta dalam Majlis Pelancaran Sambutan 100 Tahun Koperasi bertempat di Aloft Hotel KL Sentral, Kuala Lumpur pada 12 Februari 2022. Majlis ini dianjurkan bersempena usia Gerakan Koperasi yang mencecah 100 tahun sejak penubuhan koperasi pertama di Malaysia pada tahun 1922.
Acara perasmian dan gimik pelancaran telah disempurnakan oleh YB Tan Sri Noh bin Hj Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC). Selain itu, YB Menteri MEDAC juga turut menyampaikan anugerah Koperasi Premier dan 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2021 kepada koperasi-koperasi yang berjaya.
KT sekali lagi diberikan pengiktirafan sebagai Koperasi Premier bagi tahun 2021 dan YBhg Mej Jen Dato’ Zulkiflee bin Mazlan (B), Pengerusi KT bersama En Mohamad Khairul Anuar Mohamed, Ketua Pegawai Operasi KT telah menerima anugerah berprestij ini daripada YB Menteri MEDAC.
Di samping itu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) selaku pihak penganjur dengan kerjasama MEDAC dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa), telah mengadakan sesi taklimat, forum dan pembentangan kertas kerja sebagai pengisian program yang berlangsung selama dua hari. Program sebegini merupakan platform terbaik untuk bertukar pandangan dan pendapat serta perkongsian ilmu yang bermanfaat kepada semua wakil koperasi yang hadir.
Turut hadir, YB Datuk Muslimin Yahaya, Timbalan Menteri MEDAC; YBhg Datuk Haji Zamri Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Usahawan) MEDAC dan YBhg Tuan Haji Zazali Haron Pengerusi Eksekutif SKM.