Koperasi Tentera (KT) telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-56 di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM. Berbeza dari tahun sebelumnya, pengundian di jalankan secara maya dan mesyuarat agung secara bersemuka di Dewan Perkasa.
Hadir memantau perlaksanaan mesyuarat, YBhg Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM, Panglima Angkatan Tentera merangkap Yang Dipertua Koperasi Tentera; YBhg Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Bin Mohd Zain, Panglima Tentera Darat; YBhg Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany, Panglima Tentera Laut dan YBhg Jen Tan Sri Dato’ Sri Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM, Panglima Tentera Udara.
Pada mesyuarat tersebut, KT telah mengumumkan pulangan dividen sebanyak 5 peratus bersamaan RM90 juta kepada 157,000 anggotanya. KT telah mencatatkan prestasi kewangan yang memberangsangkan, walaupun berdepan dengan cabaran hebat akibat daripada pandemik wabak covid-19.
KT telah merekodkan pendapatan bersih sebanyak RM180.8 juta, meningkat sedikit berbanding RM175.8 juta pada tahun 2020. Walau bagaimanapun dengan peningkatan kos operasi serta perbelanjaan berkaitan teknologi maklumat ditambah dengan jumlah peruntukan yang lebih tinggi yang perlu dibuat selaras dengan keperluan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia, KT telah menghasilkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM54.0 juta berbanding RM75.6 juta pada tahun 2020.