Bengkel Penilaian Kecederaan STBATM Tahun 2023 telah pun berlangsung pada 12 – 16 Jun 2023 bertempat di Hotel Ideas, Kuala Lumpur. Bengkel ini telah dilaksanakan dengan jayanya oleh ketiga-tiga pihak iaitu Koperasi Tentera sebagai pengurus Skim Takaful Berkelompok Angkatan Tentera Malaysia (STBATM), Great Eastern Takaful Berhad sebagai penanggung skim dan penaja bengkel ini serta kerjasama daripada pihak Markas Angkatan Tentera Malaysia Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (MATM-BPK). Seramai 24 orang pegawai Perubatan daripada pelbagai unit/pasukan dan 2 orang wakil Great Eastern Takaful Berhad telah menyertai bengkel ini manakala penceramah pula adalah seramai 10 orang yang terdiri daripada Pakar Perubatan ATM.
Untuk makluman, Bengkel Penilaian Kecederaan STBATM ini adalah acara tahunan bagi KT, GETB dan MATM-BPK. Pihak MATM-BPK akan memilih mana-mana Pegawai Perubatan ATM yang masih belum menghadiri bengkel ini supaya maklumat terkini berkenaan STBATM dapat disalurkan kepada semua Pegawai Perubatan ATM yang terlibat terutamanya tentang tatacara dan prosedur membuat penilaian ke atas kecederaan anggota-anggota ATM dalam membuat tuntutan Hilang Upaya dengan menggunakan garis panduan American Medical Association (AMA), ’Guides of the Evaluation of Permanent Impairment’ 5th Edition.
Dengan adanya bengkel seperti ini, ianya dapat memastikan semua Pegawai Perubatan yang terlibat memberikan peratusan penilaian kecederaan anggota dengan lebih adil, setara dengan tahap kecederaan yang dialami oleh anggota dan tiada sebarang percanggahan dengan garis panduan yang digunakan.
Majlis dirasmikan oleh Mej Jen Dato’ (Dr) Rosman bin Ab Rahman, Pengarah Perubatan MATM-BPK dengan disaksikan oleh En Zulkkar Hashman Jamalkhir, Ketua Perbankan Pelanggan Koperasi
Tentera, Puan Roselinda Abdul Latiff, Pengurus Kanan Insurans Koperasi Tentera, Puan Lily Rasyima Abd Razak, Penolong Naib Presiden, Grup Akniti Great Eastern Takaful Berhad dan beberapa orang sekretariat daripada Koperasi Tentera, Great Eastern Takaful Berhad dan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM. Pelbagai mesej dan peringatan telah disampaikan kepada semua Pegawai Perubatan yang terlibat agar melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan dengan baik dan lancar.
Ketiga-tiga pihak ini juga telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan isu-isu berbangkit seperti kelewatan pengeluaran Laporan Penilaian Kecederaan daripada Doktor ATM, masalah yang dihadapi ketika memproses tuntutan anggota dan juga hala tuju kerjasama semua pihak bagi melancarkan proses tuntutan hilang upaya dan kematian peserta STBATM pada masa akan datang. Seorang peserta telah dinobatkan sebagai Peserta Terbaik iaitu Kapt (Dr) Nurin Faqihah binti Aliman daripada 2 RAMD.