Bagi memenuhi keperluan anggota setempat di wilayah Pantai Timur, Koperasi Tentera (KT) telah merasmikan cawangan baharu dan pembukaan Ar-RahnuKT di Kota Bharu, Kelantan. Majlis perasmian cawangan ini telah dirasmikan oleh YBhg Mej Jen Roba’i Rahmat, Pengerusi KT diiringi oleh Anggota Lembaga Koperasi (ALK) serta YBrs En Mohd Ghazali Abbas, Ketua Pegawai Eksekutif KT.
Premis baharu yang telah mula beroperasi pada 26 Jun 2023 ini dilengkapi dengan ruangan kaunter pembiayaan serta simpanan yang lebih selesa, selari dengan usaha KT untuk menambahbaik kualiti perkhidmatan serta memperluas rangkuman kewangan kepada anggota, khususnya di negeri Kelantan dan Terengganu. Di samping itu juga, KT turut membuka cawangan Ar-RahnuKT Kota Bharu yang merupakan cawangan Ar-RahnuKT ke-9, yang menawarkan perkhidmatan kepada semua pelanggan termasuk individu bukan anggota. Perkhidmatan Ar-RahnuKT ini merupakan inisiatif organisasi untuk menyediakan saluran pinjaman tunai berlandaskan syariah kepada pelanggan setempat.
Dalam majlis tersebut, KT turut memberikan sumbangan kepada lima buah masjid/surau berdekatan di sekitar Kota Bharu iaitu Masjid Jamek An-Nur Kem Desa Pahlawan, Masjid Ar-Raudhah Pengkalan Udara Gong Kedak, Masjid As-Solihin Kem Pengkalan Chepa, Masjid Mukim Tunjong dan Masjid Mukim Ludang Paku.