Koperasi Tentera (KT) dan Kementerian Pertahanan telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan memperkukuhkan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam usaha menyediakan alternatif pembiayaan kepada kontraktor dan pembekal yang berurusan di Kementerian Pertahanan.
Jalinan strategik ini memperkenalkan Pembiayaan Kontrak sebagai satu alternatif baharu dalam penawaran pembiayaan, yang dirancang untuk membantu kontraktor dan pembekal memenuhi keperluan kewangan dalam melaksanakan kontrak-kontrak yang diperolehi daripada Kementerian Pertahanan. Sesi memeterai perjanjian ini diadakan semasa Majlis Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan bagi tahun 2025 bertempat di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM.
Sesi menandatangani MoU ini telah disempurnakan oleh YBhg Datuk Lokman Hakim bin Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan bersama YBrs En Mohamad Khairul Anuar Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif KT sambil disaksikan oleh YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan selaku Penaung KT; YB Adly bin Zahari, Timbalan Menteri Pertahanan; YBhg Leftenan Jeneral Dato’ Zaidan bin Atan, Ketua Staf Tentera Darat merangkap Pengerusi KT serta YBhg Jeneral Tan Sri Dato' Seri Mohammad bin Ab. Rahman, Panglima Angkatan Tentera selaku Yang Dipertua KT.