Sejarah
SEJARAH
Kejayaan Anda, Kebanggaan Kami
Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad atau lebih dikenali sebagai Koperasi Tentera atau KT, ditubuhkan pada tahun 1960. KT ditubuhkan sebagai sebuah koperasi jimat cermat dan pinjam-meminjam (thrift and loan) untuk menambah baik status sosioekonomi dan kebajikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pada tahun 1975, KT telah berkembang menjadi koperasi serba guna dan terus memperluas dan mempelbagaikan lagi sektor perniagaannya.
KT terus mengorak langkah pada tahun 2012, dengan mentransformasikan perniagaannya untuk menjadi sebuah organisasi yang lebih mampan dan berpontensi tinggi.
Meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran ekonomi, KT berjaya mengekalkan momentum pertumbuhan dan mencatatkan prestasi yang kukuh, sejajar dengan pelan pembangunan strategik yang telah direncanakan.
Usaha gigih KT telah membolehkan KT mencatatkan kejayaan cemerlang dengan mencapai kesemua agenda yang telah ditetapkan dalam pelan transformasi KT pada tahun 2017.

1960's
KT mula beroperasi di premis Kementerian Pertahanan di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur. Jawatankuasa Pengurusan pada tahun ini telah diketuai oleh pengerusi pertama iaitu Kolonel Ishak bin Shafie. Pelantikan Jawatankuasa Pengurusan ketika ini adalah dipilih daripada kakitangan Angkatan Tentera sepenuh masa.
Urusan Gaji Tentera (UGAT) turut membantu koperasi dalam urusan pemotongan gaji serta yuran keahlian anggota dan menjadi kunci utama yang menyumbang kepada kejayaan KT. Sehingga tahun 1965, KT telah berjaya merekodkan keahlian seramai 2,000 ahli. Pada tahun 1966, Polisi Pinjaman telah diperkenalkan berserta garis panduan untuk mengatasi tabiat kerap meminjam dalam kalangan anggota. Pada tahun 1968, pengambilan kakitangan terus dilaksanakan bagi menyelesaikan isu kekurangan kakitangan, seterusnya amalan pentadbiran KT terus bertambah baik.

1970's
Tahun ini merupakan titik peralihan KT daripada sebuah koperasi jimat cermat dan pinjam meminjam kepada kepada sebuah koperasi serba guna.
Pada tahun ini, Brigedier Jeneral Dato’ Hassan Bin Haji Mohd Saleh, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan telah bergabung tenaga bersama Profesor Diraja Ungku Aziz untuk merangka draf Undang-Undang Kecil yang mentransformasikan KT kepada koperasi serba guna. Usaha besar ini telah menyaksikan Draf Undang-Undang Kecil ini digunakan sebagai asas kepada koperasi serba guna di seluruh Malaysia. Ketika ini, Kolonel Loo Yew Phin mengemas kini akaun KT bagi membolehkan KT menfokuskan kepada penjanaan keuntungan.
Sehubungan dengan penubuhan koperasi serba guna ini, buletin bernama Suara Koperasi telah diterbitkan pada tahun 1976 dan ini merupakan buletin pertama yang diterbitkan di KT. Sejajar dengan taraf koperasi serba guna, KT telah menjadi antara koperasi pertama di dunia yang memperkenalkan insurans berkelompok untuk angkatan tentera. Pada tahun 1977, logo korporat KT telah diperkenalkan, manakala Jawatankuasa Pengurusan dinamakan semula sebagai Lembaga Pengarah pada tahun 1978. Pada penghujung tahun 70-an, ahli KT telah mencecah hampir 40, 000 orang serta aktiviti pelaburan KT berkembang pesat dan KT mula menceburi sektor perumahan perumahan.

1980's
Pada tahun ini, KT telah berpindah ke pejabat sendiri di Plaza Permata, Jalan Kampar, Off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dan KT telah mengambil tenaga profesional dari sektor swasta untuk mendapatkan khidmat kepakaran mereka.
Selain itu, kemudahan kredit KT juga turut mencatatkan peningkatan tiga kali ganda dan menyaksikan KT melebarkan portfolio pelaburannya dalam pelbagai sektor.
Pada tahun 1983, KT melancarkan Skim Pinjaman Pendidikan Tinggi untuk kemudahan kebajikan anggotanya.
Sehingga penghujung tahun 80-an, keahlian KT telah meningkat sehingga 79,173 orang.

1990's
Tahun 1990-an merupakan tahun kegemilangan bagi KT kerana telah menerima Anugerah Kecemerlangan daripada Pertubuhan Koperasi Kebangsaan Malaysia. Pada tahun 1992, KT menerima Sijil Penghargaan daripada Kolej Koperasi Malaysia dan memenangi anugerah berprestij Anugerah Kualiti Perdana Menteri bagi Sektor Sosial pada tahun 1993. Seterusnya pada tahun 1996, KT berpindah ke ibu pejabat baharu di Jalan Pahang Barat untuk memberikan perkhidmatan yang lebih efektif kepada anggotanya. Tahun ini juga, KT meningkat dan memaksimumkan infrastruktur Teknologi Maklumatnya ke tahap tertinggi. Keharmonian di antara tenaga profesional dalam mengurus pasukan pengurusan dan Lembaga Pengarah turut terserlah di era 90-an ini.

2000's
Dekad ini menyaksikan KT terus bersinar dan cemerlang di dalam operasinya.
Pada tahun 2003, KT telah berjaya menukar skim pinjaman konvensional kepada pembiayaan berteraskan syariah. Pada tahun 2005 pula, KT menerima rating “I” daripada Bank Negara dan Jabatan Kemajuan Koperasi di atas urusan pematuhan audit dan turut memenangi Anugerah Koperasi Kebangsaan. Pada tahun 2006, Kumpulan Insurans KT telah ditransformasi kepada pelan Takaful dan pada Oktober tahun yang sama, Dato’ Ahmad Zahudi telah dilantik secara rasmi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. Dato’ Ahmad Zahudi juga bertanggungjawab memperkenalkan Penyataan Arah – iaitu panduan untuk visi, misi dan pelan tindakan KT. Pada tahun -tahun seterusnya, KT dianugerahkan sijil piawaian MS ISO bagi proses kerja dan dokumen operasi. Sepanjang dekad ini, KT telah memanfaatkan dana luar untuk merancakkan lagi aktiviti pembiayaannya. Tahun 2010 mencatatkan prestasi positif dan merupakan sejarah kegemilangan KT yang paling bermakna. Keuntungan daripada RM24 juta meningkat kepada RM158 juta iaitu peningkatan sejumlah 658%. Manakala, jumlah aset KT pula meningkat daripada RM347 juta kepada RM2.2 bilion iaitu peningkatan sejumlah 642%.

2010's
Tahun ini merupakan kemuncak kegemilangan bagi KT. Kecemerlangan tahun demi tahun telah menjulang KT sebagai Koperasi Cemerlang (Kluster Besar) oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pada tahun 2010. Anugerah ini mengiktiraf kecemerlangan KT dalam bidang kewangan, pengurusan dan tadbir urus baik yang menjadi amalan KT dalam mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh SKM. Pada Oktober 2010, KT telah menandatangani perjanjian penubuhan Syarikat Great Eastern Takaful Malaysia. Ini merupakan syarikat usaha sama di antara KT dan Great Eastern. Pada Mac 2013, KT merasmikan cawangan Sungai Besi untuk kemudahan anggota di kawasan tersebut. Pada Ogos 2013 pula, KT telah menerima Anugerah Koperasi Negara 2013 di Jitra, Kedah. Dewan Latihan di Wisma KT pula telah dirasmikan oleh Dato’ Nik Ali bin Mat Yunus, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pada tahun 2014. Cawangan KT di Temerloh pula dirasmikan oleh YBhg Mej Jen Dato’ Zulkiflee bin Mazlan (Bersara) pada Disember 2015. Pada Ogos 2015, KT telah dinamakan sebagai 100 Koperasi Terbaik di Malaysia. KT turut menerima Anugerah Koperasi Terbaik sempena Majlis Makan Malam Tahunan anjuran Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri (JPAN), Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
KT terus meluaskan cawangannya dan pada November 2015, KT telah membuka cawangan Ar-Rahnu KT di Subang Perdana, Shah Alam. Pada 2016, KT dan Tata Consultancy Services telah menandatangani Kontrak Pembangunan Sistem Bersepadu Perbankan Islam.
KT terus cemerlang dan pada Julai 2016, bersempena Hari Koperasi Negara, KT telah merangkul dua anugerah, Anugerah Koperasi Terbaik: Sektor Perkhidmatan Kewangan dan Profil Koperasi Terbaik. Pada tahun 2017, Pengerusi KT YBhg Mej Jen Dato’ Zulkiflee bin Mazlan (Bersara) telah menandatangani ikrar integriti di Kursus Pemantapan Tadbir Urus Co-op Bank dan Majlis Menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia. Pada tahun yang sama, KT menerima Anugerah Koperasi Terbaik Wilayah Persekutuan Tempat Ke-2 dan Anugerah Profil Koperasi Terbaik Wilayah Persekutuan di Hari Koperasi Negara 2017.