Prestasi
Kewangan Teguh, Pertumbuhan Mampan
Prestasi Kami
SOROTAN KEWANGAN
Setelah 65 tahun menerajui sektor kewangan, Koperasi Tentera kini telah berkembang menjadi sebuah koperasi yang berdaya saing, mampan dan dipercayai. KT terus memperkukuh kedudukannya menerusi asas tadbir urus yang kukuh sehingga diiktiraf sebagai salah satu koperasi kredit terkemuka di negara dan memberikan perkhidmatan kepada lebih daripada 155,000 anggota.
Sehingga Disember 2024, KT telah menawarkan perkhidmatan kepada 155,678 anggota yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan penjawat awam yang berkhidmat di Kementerian Pertahanan Malaysia. Jumlah aset KT berjumlah RM3.191 bilion dengan jumlah yuran dan syer anggota berjumlah RM1.769 bilion.
Pelaburan strategik turut menjadi aktiviti Koperasi Tentera untuk menjana pendapatan yang mampan dan pengekalan modal dengan mengambil kira keseimbangan tahap risiko dan pulangan yang sepadan. Setakat 31 Disember 2024, KT telah membuat pelaburan berjumlah RM429.3 juta ke dalam pelbagai portfolio pelaburan seperti saham Bursa Malaysia, pelaburan ekuiti, produk berstruktur, amanah saham dan sukuk.
PENCIPTAAN NILAI YANG BAIK
Persekitaran operasi yang amat kompetitif dan mencabar dalam sektor kewangan telah menjadi cabaran utama kepada KT. Cabaran ini tidak sesekali mematahkan semangat KT, bahkan menjadi pemangkin untuk mengukuhkan portfolio aset KT untuk memberikan pulangan terbaik kepada anggotanya. Sehingga 31 Disember 2024, KT telah berjaya mengembangkan aset kepada RM3.19 bilion.
Kejayaan KT ini adalah bertitik tolak daripada kejayaan pelancaran inisiatif transformasi KT. KT juga berpegang teguh dalam mengamalkan nilai integriti, ketekunan dan profesionalisme, tadbir urus baik, budaya kerja berprestasi tinggi, kehebatan teknologi dan etika prestasi yang sihat dalam memastikan KT terus unggul dalam sektor koperasi.
Sehingga kini, KT telah mempunyai 24 cawangan KT, 11 cawangan Ar-Rahnu dan 2 kios di seluruh negara untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada anggotanya.
Koperasi Tentera menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada anggotanya seperti produk kewangan patuh syariah – pembiayaan peribadi dan ekspres, pembiayaan Takaful; produk insurans – Skim Takaful Berkelompok ATM, Skim Medic KT, Takaful Kenderaan dan Ar-RahnuKT (pembiayaan pajak gadai Islam) serta menawarkan pembiayaan kepada Perusahaan Mikro, Kecil & Sederhana (SME KT).
Koperasi Tentera turut menyediakan bantuan kebajikan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh anggota dan keluarga. Sehubungan itu, Koperasi Tentera telah memperuntukkan sejumlah RM2.5 juta setahun untuk diagihkan kepada anggota dan keluarga mereka melalui beberapa skim dan sumbangan yang telah disediakan.









